Beruntunglah Bagi Mereka Yang Asing

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Sunday, August 30, 2009 0 ulasan

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil”
[Hadith Muslim no. 145]

Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah. Masakan tidak. Islam datang menongkah kebiasaan. Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia.

Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan. Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan. Arak yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.

Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan. Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut.

Itulah nasib Islam di awal zamannya. Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya. Kejanggalan dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada Baginda SAW dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan, berteraskan iman. Mereka ganjil bukan sebab mereka salah. Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai.

Firman Allah SWT:

“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.”
[Hud 11: 116]

Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti. Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan. Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.

Mereka inilah GHURABA! Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda:

“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”
[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]

Baginda ditanya,

“Siapakah orang-orang yang asing itu?”

Baginda menjawab,

“Iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak”
[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani]

Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab,

“Iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”

Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab,

“Mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya”

Pernahkah anda berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam? Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, anda yang memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah anda berasa seperti itu?

Ketika kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna menuju malam, anda yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah anda mengalami pengalaman seperti itu?

Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, anda memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan besarnya kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah anda berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?

Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, anda memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu anda dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah anda berasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?

Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba anda yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah anda dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Tooba lil Ghurabaa’!

Firman Allah SWT:

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
[al-An’aam 6: 116]

Allah SWT juga menyebut:

”Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)”
[Yusuf 12: 103]

Allah ‘Azza wa Jalla berpesan lagi:

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik”
[al-Maa’idah 5: 49]

Allah SWT memberikan peringatan di dalam al-Quran:

“Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur”
[Yusuf 12: 38]

Bersabarlah jika anda dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada anda memilih Islam di zaman yang penuh cabaran ini. Keganjilan yang pertama, adalah keganjilan kerana memilih kebenaran. Keganjilan ini tidak menjadikan kaum minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan.

Di Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut apakah agama dan cara hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “Apakah kamu tidak pergi menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami abdikan diri kepada-Nya selama ini”
[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Namun, Syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia mengheret manusia untuk meninggalkan kebaikan yang menjadi pegangan generasi yang lalu, dan Islam kembali menjadi asing. Oleh kerana itu, janganlah kecundang dengan rasa rendah diri dan terasing kerana memilih Islam. Ia adalah pusingan kehidupan yang sudah pun diberitakan.

Suatu ketika, Rasulullah SAW ditanya tentang maksud firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan”
[al-Maa’idah 5: 105]

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

"Bahkan sesungguhnya serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai. Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?” Baginda menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu”
[Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain]

Ya, bagi kita yang bersabar dengan tekanan dipandang asing kerana mempertahankan Islam, ganjarannya ialah seperti ganjaran 50 orang sahabat. Sebabnya jelas, pengalaman yang sama turut dirasai oleh sahabat di awal permulaan Islam. Islam asing di zaman permulaannya. Islam kembali asing di zaman kemudiannya. Teruskanlah mujahadah anda untuk mengusahakan perubahan.

Sumber: www.iluvislam.com

Pengenalan

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Friday, August 28, 2009 0 ulasan


Salam Ukhuwah, Bersesuaian dengan namanya Kelab Diskusi Islam (KDI), Kelab ini bukan merupakan kelab yang menekankan aspek kepimpinan 100% tetapi penubuhannya adalah untuk menarik pelajar yang mahu berubah kearah islam, diharapkan persatuan ini menjadi penggerak utama siswa dan siswi di Politeknik Teknik Tuanku Syed Sirajuddin(PTSS) dalam melahirkan intelektual-intelektual yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah turut cemerlang dalam membentuk sahsiah rupa diri yang terpuji selaras dengan undang-undang yang digariskan oleh pihak Politeknik ini dan islam itu sendiri.

Sebagai sebuah persatuan yang lebih menjuruskan kepada Dakwah Remaja Islam, keahlian ( KDI ) terbuka kepada semua pelajar yang berdaftar di Politeknik ini tanpa dikenakan sebarang bayaran yuran keahlian dan pendaftaran ahli boleh dilakukan pada bila-bila masa.KDI juga mempunyai sahabat diluar kampus yang terdiri daripada pelajar yang telah tamat pengajian. Ini bermakna eratan ukhuwah yang dibentuk tidak akan hilang begitu sahaja. Keikhlasan setiap pelajar yang menyertai KDI merupakan asset utama persatuan ini dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat berilmu yang harmoni berlandaskan syariat islam. Seterusnya diharapkan persatuan ini dapat membentuk dan membimbing pelajar-pelajar agar cemerlang dari segi semua aspek dan seterusnya dapat melahirkan graduan-graduan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin yang terpuji dan cemerlang di dunia dan akhirat.

Senyumlah

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam 0 ulasan

Ketika kegagalan mewarnai kehidupan kita, kitapun menangis dan kecewa namun kejayaan tidak sedikitpun tersenyum pada kita. Ketika kita dipandang hina dan dicerca kerana kesalahan kita sendiri kemuliaanpun memandang kita dengan senyuman sinisnya. Ketika kita tersungkur jatuh kerana kelalaian kita sendiri lalu jiwa kita sakit dan menderita, kitapun menangis hiba, malangnya kebahagiaan tidak juga menangis bersama kita atau menemani kita hingga keresahan terusir dari jiwa kita.

Jadi kenapa kita perlu menangis? Bukankah tangisan itu akan menjadikan kita semakin resah bahkan tidak akan mengubah apa-apa. Bukankah kesedihan dan rasa kecewa itu akan memadamkan sebahagiaan dari kewarasan kita hingga kita mula hilang arah tuju dan teraba-raba mencari siapa diri kita sebenarnya.

Kenapa kita tidak tersenyum? Kerana senyuman itu akan mewarnai kekelaman dan kegelapan jiwa kita hingga kita akan melihat kehidupan ini dengan semangat dan keazaman yang baru. Bukankah mereka yang yang berjaya itu pun pernah gagal namun kerana mereka tidak terlalu sibuk memanjangkan tangisan dan keluhan jiwa mereka lalu merekapun ada banyak masa untuk melakar harapan mereka semula. Bukankah mereka yang tersenyum bahagia itupun pernah tersungkur hina namun kerana jiwa mereka kuat lalu mereka menjadikan keinsafan sebagai anak tangga untuk mereka hampir kepada Allah swt.

Lihatlah kehidupan ini dengan jiwa yang tersenyum. Kalaupun kita hidup merempat tetapi ada pula manusia yang mati hina. kalau kita serba kekurangan ada pula manusia yang langsung tak memiliki apa-apa. Kalau kita miskin harta ada manusia yang miskin jiwa hingga tidak menikmati keindahan hidup walaupun kaya raya. Kalaupun kita tidak memiliki kenderaan yang baik tetapi ada manusia yang tidak memiliki kaki untuk berjalan.

Saya tidak nafikan kita berhak menangis dan sayapun selalu menangis tetapi kita perlu tahu ketika mana dan untuk siapa tangisan itu. Bukankah jiwa ini ada Pemiliknya. Jadi ketika jiwa kita lemah mengadulah padaNya maka Dia akan berikan kita satu kekuatan baru kerana Kekuatan itu milikNya. Ketika kita kecewa maka sandarkan harapan kita padaNya kerana dialah tempat kita tujukan harapan kita. Cuma kadang-kadang kita lupa diri kita siapa lalu kita meminta kekuatan pada manusia yang juga lemah lalu kita semakin lemah, kita sandarkan harapan pada bukan tempatnya maka kitapun kecewa.


sumber: Cikgu Azmi

Rasai Kelazatan Beribadah Di Bulan Ramadhan

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Thursday, August 27, 2009 0 ulasan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, syukur dipanjatkan kerana dengan rahmat-Nya kita masih diberi pinjaman umur untuk melalui gerbang agung Ramadhan. Saban tahun kita telah melalui gerbang ini dengan setitis amalan yang tidak pasti diterima atau tidak. Adalah menjadi kerugian yang besar jikalau peluang yang Allah berikan kali ini untuk sekali lagi melalui gerbang agung ini kita hanya sekadar menoleh tanpa benar-benar merasai kelazatan bulan yang mulia ini.

RAHMAT SUNGGUH BULAN RAMADHAN

Beberapa bulan sebelum tibanya bulan ini, manusia sudah bertungkus-lumus mempersiapkan diri dengan amalan soleh. Mereka memperbanyakkan amalan sunat, menyelesaikan puasa-puasa ganti, memperelok dan menghiasi masjid-masjid.

Bagi yang berkemampuan mereka mula menyediakan peruntukan untuk menyediakan “Maidah Rahman” yang cukup terkenal di Bumi Anbia’ ini. Keadaan ini sebenarnya cukup memberi kesan dan melahirkan harapan yang cukup besar bagi fakir miskin. Tidak lama lagi terbukalah pintu rezeki dan melimpah-ruahlah rahmat Allah S.W.T melalui hamba-hamba-Nya yang bertaqwa dan ahli dermawan. Syukur tak terhingga kerana Ramadhan akan tiba lagi.

Bulan yang penuh dengan rahmat, keampunan dan pembebasan dari azab neraka menjanjikan suatu aset pahala yang tak tertanding nilainya. Manakan tidaknya ganjaran pahala pada bulan ini secara langsung akan berlipat kali ganda. Alangkah beruntung bagi orang yang pancainderanya dapat melihat dan merasa pahala yang melimpah-ruah.

HAYATI DAN FAHAMI AL-QURAN

Seluruh alam juga akan senyap seolah-olah air yang mengalir tenang apabila umat manusia keseluruhan sedang membaca kalam Allah yang indah. Itulah antara rahmat agung dalam bulan ini. Seharusnya kita semua perlu melazimi bacaan ayat suci Al-Quran serta menghayati maknanya.

Jika sebelum ini kita sudah melazimi bacaan Al-Quran, pada bulan Ramadhan ini kita perlu tingkatkan lagi usaha untuk khatam Al-Quran serta terjemahannya. Nilai tambah ini amat perlu bagi kita kerana kitab suci Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca semata-mata bahkan dituntut kepada kita supaya memahami isi kandungannya.
Allah S.W.T berfirman:

أفلا يتدبرون القران ولو كان من عند غير الله لوجدوا فيه اختلافا كثيرا
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran? Kalau sekiranya Al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapati pertentangan yang banyak di dalamnya.” (An- Nisa’: 82)

HIDUPKAN RAMADHAN DENGAN IBADAH

Kemeriahan bulan ini tidak akan terasa tanpa amal ibadah yang bersungguh-sungguh. Marilah kita pastikan bahawa bulan Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita kerana kita tidak mengetahui ajal yang mendatang. Jikalau Ramadhan ini adalah yang terakhir, maka usahakan beribadah pada bulan ini terutama malam Al-Qadr yang ganjaran pahalanya seperti beramal selama seribu bulan.

Pada malamnya diisi dengan solat terawih, kemudian dengan amalan qiamullail, bersahur dan berbuka puasa manakala di waktu siang pula penahanan diri zahir dan batin dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. menjadikan bulan Ramadhan adalah suatu bulan yang cukup indah.

Rasulullah S.A.W bersabda:
من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, maka dosa-dosanya yang telah lalu juga akan diampunkan oleh Allah S.W.T. ( Hadis riwayat Abu Hurairah. Sahih Bukhari: 1901)

Oleh yang demikian, marilah wahai sahabat ayuh kita mempertingkatkan amal ibadah, tinggalkan kemaksiatan. Jadikanlah Madrasah Ramadhan ini medan yang terbaik bagi kita memusatkan amal ibadah untuk setahun yang mendatang. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

بركة السحور من غير ايجاب
عن انس بن مالك رضى الله عنه قال: قال النبى صلى الله عليه وسلم :
((تسحروا, فان فى السحور بركة )) صحيح البخارى. رقم :1923

Merasai kemanisan iman

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Monday, August 24, 2009 0 ulasan

Merasai Kemanisan Iman
www.iluvislam.
commuiz_al-hafizEditor: lailatulema

Dalam kehidupan setiap umat telah diberikan nikmat iman oleh Allah swt. Dalam mencari kedamaian dan keharmonian hidup seharian,sebagai umat Islam kita mestilah mempunyai prinsip yang murni dan sihat. Tingkatan kenikmatan dan kemanisan iman yang dikecapi oleh seseorang bergantung kepada prinsip hidupnya iaitu kasih kepada Allah dan Rasul-Nya mengatasi segala-galanya disamping kasih kepada manusia,dengan tujuan menuntut keredhaan Allah dan benci kepada kekufuran. Sebagai manusia yang beriman,perkara kekufuran tidak seharusnya berlaku dalam kehidupan di dunia ini.Manusia yang tidak beriman akan selalu lupa kepada nikmat ciptaan Allah terhadapnya. Manusia yang tidak bersyukur akan menjadi kufur dan lupa akan tujuan mereka dihidupkan di dunai ini sebagai khalifahNya. Rasulallah saw menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud:”Tiga perkara menyebabkan terasa kemanisan iman,Allah dan Rasul-nya hendaklah dicintai lebih daripada yang lain,mencintai manusia kerana Allah semata-mata dan benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya seseorang jika dicampakkan ke dalam api neraka”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Begitu tingginya tahap kemanisan iman yang harus dicapai setiap umat Islam. Mukmin tersebut akan merasai betapa bahagianya hidup menjadi umat Islam yang beriman dan berada dalam ketenangan dan kedamaian,merasai keinginan dan kelazatan lidahnya dengan berzikir mengingati Allah swt. Al-Quran pula sebagai petunjuk yang sentiasa mendidik dan memberi pengajaran kepada semua manusia untuk dapat membentuk keimanan yang sempurna.Pendidikan iman manusia diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk. Iman mendidik manusia mengenal dan meyakini adanya perkara-perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman seperti percaya kepada hari akhirat,qada dan qadar seta syariat Islam. Keimanan antara lain memberi keyakinan bahawa manusia memerlukan pertolongan Allah dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi. Iman memberi peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya.Iman mendidik manusia supaya mencintai Allah dan Rasulullah serta keluarganya(Ahlu Al-bait) dengan membiasakan diri dengan membaca al-quran. Iman memberi motivasi dengan semangat untuk terus tekun berusaha,supaya manusia tidak bergantung kepada takdir semata-mata untuk mencapai kejayaan hidup. Melalui iman yang mantap,ia akan mengingatkan manusia supaya tidak melupakan kepentingan hidup di akhirat ketika hidup di dunia ini. Firman Allah swt yang bermaksud;”Dan carilah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada(kebahagiaan)akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagian dari(nikmat)dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik terhadapMu” (Al-Qasas:77)Iman merupakan faktor paling penting yang mendidik dan membentuk sahsiah manusia yang teguh dan berakhlak mulia,berakal budi murni serta memperlihatkan teladan yang baik.

Mesej Anda


ShoutMix chat widget

Mutiara Kata

Radio

nasyidfm