Hayatilah AidilAdha dengan Penuh Penghayatan..........

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Friday, November 27, 2009 0 ulasan


Berkorban apa saja.....,
Harta ataupun nyawa......,
Itulah kasih mesra....,
sejati dan mulia........,

Untuk menjadi bukti..........,
kasih yang sejati........,
itulah tandanya.....,
kalau mahu diuji.......,

Kepentingan diri sendiri........,
tiada diingini.......,
Bahagia sejati..............,
Saja yang diharapi......,

Bersyukur dengan rahmat Allah S.W.T.
Bersempena Hari Raya AidilAdha ini, marilah kita raikan dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan dengan rahmat dan limpah kurniaNya mampu jua kita bersama-sama meraikan hari yang penuh dengan keberkatan ini. Kita harus sedar rahmat daripada Allah S.W.T. terlalu banyak. Oleh itu, insaflah diri kita untuk bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T.

Kehidupan dan pengorbanan
Perjalanan di dalam kehidupan ini memerlukan pengorbanan. Terlalu banyak pengorbanan yang perlu kita lakukan. Kita selalu terfikir berkenaan pengorbanan kepada diri kita. Semua yang kita lakukan adalah untuk diri kita. Tetapi perlu kita ingat pengorbanan ini sangat diperlukan di dalam kehidupan terutama kepada Allah S.W.T., kepada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Kita sedia maklum, Antara pengorbanan yang paling besar dan terlalu besar nikmatnya adalah berkorban demi kerana Allah S.W.T. seperti mana kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Berkorban kerana Allah S.W.T. boleh menjadi titik perubahan seseorang insan untuk mendidik hati bagi sentiasa mencari keredhaan Allah S.W.T. Jadi, perlunya kita bersama-sama berkorban demi kerana Allah S.W.T. dan berkorban kerana agama ISLAM itu sendiri. Kita salurkan perngorbanan ini ke jalan Allah S.W.T. Kita salurkanlah mengikut tahap dan kemampuan yang kita ada. Sekiranya kita punyai kemampuan dari segi tenaga maka salurkan kemampuan kita untuk membuat perkara-perkara yang memerlukan tenaga, jika kemampuan kita dari segi harta salurkan harta kita kepada mereka yang memerlukan dan andai kita petah berkata-kata gunakan kebolehan yang kita ada bagi menyampaikan kebenaran. Untuk ibu bapa, kita perlu membalas jasa-jasa yang dicurahkan ibu bapa sepanjang menjaga, mendidik dan menbesarkan kita. Usia ibu bapa semakin hari semakin meningkat dan semakin tua, maka sudah pasti pelbagai penyakit dan perkara akan melanda di saat usia emas sebegini. Oleh itu, kita sebagai anak perlu berkorban untuk kesejahteraan ibu bapa. Hal yang sama juga perlu diterapkan di dalam institusi kekeluargaan. Secara jelasnya, perngorbanan sangat diperlukan di dalam kehidupan ini. Apa yang penting kita jadikan pengorbanan ini sebagai amal untuk bersiapan menghadap Allah S.W.T. kelak. Insya'Allah.

Pemuda Islam perlu berkorban demi dakwah dan kerja ISLAM
Pengorbanan adalah satu sifat atau ciri-ciri yang sangat diperlukan di dalam diri setiap remaja dan pemuda Islam, di mana mereka tidak kenal erti kalah melainkan hanya kemenangan atau pun syahid di jalan Allah S.W.T. Tugas di dalam melakukan kerja-kerja Islam ini tidak akan dicapai melainkan dengan pengorbanan dari sudut kerahan tenaga, harta dan masa dalam jihad fisabilillah. Dengan adanya perngorbanan inilah sejarah dan ketamadunan Islam terbina dan tersergam indah di mata dunia dan keagungannya menjadi kegerunan musuh-musuh Islam.

Wahai para pemuda dan seluruh umat Islam...... marilah kita bangun untuk kebangkitan Islam. Ayuh kita berkorban untuk ISLAM. Kita berkorban kerana Allah S.W.T. Moga-moga dengan pengorbanan yang kita lakukan dapat menjadi bekalan yang terbaik tatkala kita pulang bertemu dengan Allah S.W.T. Allahhuakbar, AllahhuAkbar, AllahhuAkbar......

Ayuh Muhasabah..........

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Monday, November 23, 2009 0 ulasan

Dakwah Kita Adalah Kesatuan, Hindari Perpecahan

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Saturday, November 21, 2009 0 ulasan

albannaSedarlah (moga anda diberikan fahaman oleh Allah)! Pertama, dakwah Ikhwan al-Muslimin adalah dakwah untuk semua, bukan hanya untuk golongan tertentu sahaja. Dakwah ini juga tidak berpihak kepada mana-mana pendapat yang diketahui mempunyai corak tertentu atau ciri dan gaya tertentu.

Dakwah ini tertumpu kepada soal asas agama. Kita mahu seluruh perhatian dan tumpuan dihala ke satu arah supaya segala usaha akan lebih bermakna dan lebih membuahkan hasil. Dakwah Ikhwan adalah dakwah yang putih bersih tanpa sebarang warna. Dakwah ini akan sentiasa bersama kebenaran walau di mana sahaja dan akan sentiasa inginkan perpaduan dan tidak mahukan perpecahan.

Malapetaka paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan. Faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya mampu dibaiki dengan menggunakan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seislam. Ia suatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.

Perbezaan pendapat pasti wujud
Dalam pada itu, kita meyakini perbezaan pendapat dalam sudut cabang agama adalah suatu yang pasti berlaku. Kita tidak mungkin boleh bersatu pendapat dalam sudut cabang, pendapat dan fahaman kerana beberapa faktor:

Salah satu faktornya ialah perbezaan keupayaan akal mencedok sesuatu hukum atau memahami sesuatu dalil dan menyelami secara mendalam sesuatu maksud. Setiap perkara saling berhubung kait. Agama ini berlandaskan ayat-ayat al-Quran, hadis dan nas sedangkan semua ini difahami oleh akal berdasarkan kaedah bahasa dan tatabahasa. Dalam perkara ini semua manusia amat-amat berbeza dan perbezaan pendapat sudah pasti tidak dapat dielak.

Faktor lain ialah keupayaan ilmu. Ada orang yang mencapai tahap ilmu yang jauh lebih tinggi daripada orang lain dan begitulah dengan yang lain. Imam Malik pernah berkata kepada Abu Jaafar: “Para sahabat Rasulullah s.a.w. telah bertaburan di seluruh muka bumi dan masing-masing mempunyai ilmu tersendiri. Jika engkau arahkan mereka supaya berpegang kepada satu pendapat, sudah tentu akan berlaku bencana.”

Satu lagi faktor ialah perbezaan tempat, di mana pelaksanaan sesuatu hukum akan berbeza mengikut perbezaan tempat. Anda sendiri lihat bagaimana Imam al-Shafie r.a. pernah memberi fatwa dengan mazhab lama (qadim) di Iraq tetapi memberi fatwa dengan mazhab baru (jadid) di Mesir. Dalam kedua-dua keadaan beliau berpandukan kepada fahaman dan apa yang beliau perolehi. Namun dalam kedua-dua keadaan beliau tetap berusaha mencari hukum yang sebenar dengan penuh teliti.

Faktor berikutnya ialah perbezaan dalam meyakini dan menerima sesuatu riwayat. Kita dapati seorang periwayat dianggap seorang yang dipercayai oleh seorang imam. Dalam masa yang sama dia dianggap tidak boleh dipercayai oleh imam yang lain berpandukan kepada pengetahuan imam itu tentang periwayat tersebut.

Faktor lain ialah perbezaan dalam menentukan kedudukan sesuatu dalil. Contohnya, ada di antara mereka yang mengutamakan amalan penduduk Madinah daripada hadis ahad dan ada pula yang tidak berpendapat sedemikian.

Sependapat dalam masalah cabang adalah mustahil

Semua faktor ini meyakinkan kita bahawa sependapat dalam sesuatu masalah cabang agama adalah mustahil. Malah bercanggah sama sekali dengan landasan agama ini. Allah mahukan agama ini sentiasa wujud dan kekal, selari dengan peredaran zaman. Untuk itu agama ini perlu bersifat mudah dan anjal, tidak jumud dan terlalu membebankan.

Maaf kepada yang tidak sependapat
Inilah yang kita yakini. Kita memohon maaf daripada sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan kita dalam masalah cabang. Kita merasakan perbezaan pendapat ini tidak akan menjadi penghalang untuk kita menyatukan hati-hati manusia, saling berkasih sayang dan bekerjasama untuk kebaikan. Untuk kita berkongsi bersama ertikata Islam yang menyeluruh itu. Bukankah kita dan mereka adalah umat Islam? Bukankah kita mahu akur dengan hukum yang kita yakini dan begitu juga mereka? Bukankah kita dituntut supaya melakukan sesuatu yang disukai oleh saudara-saudara kita sama seperti kita suka melakukannya untuk diri kita sendiri? Jadi di manakah perselisihan sebenarnya? Kenapa pendapat kita tidak boleh mereka pertikaikan sepertimana pendapat mereka boleh kita pertikaikan? Kenapa kita tidak saling faham memahami dalam suasana yang harmoni jika ia suatu yang perlu?

Para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri saling berbeza pendapat ketika memberi fatwa. Apakah perkara ini menyebabkan hati mereka berpecah? Apakah perpaduan mereka atau ikatan sesama mereka berkecai? Demi Allah, tidak dan peristiwa sembahyang Asar di bani Quraizah menjadi contoh.

Jika mereka ini pun berbeza pendapat sedangkan mereka adalah orang yang paling hampir dengan zaman nubuwwah. Malah mereka adalah orang yang paling arif tentang perkara yang bersangkutan dengan sesuatu hukum. Kenapa pula kita berbalah tentang sesuatu perbezaan pendapat yang tidak penting? Jika para imam mujtahid; orang yang paling tahu tentang Kitab Allah dan sunnah rasul juga berbeza pendapat dan saling berdebat antara satu sama lain kenapa kita tidak boleh lakukan sebagaimana yang mereka lakukan? Jika perbezaan pendapat ini berlaku dalam masalah cabang yang paling masyhur seperti masalah azan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari walaupun terdapat banyak nas dan hadis yang berkisar tentangnya jadi kenapa pula timbul masalah dengan masalah kecil yang hanya dirujuk kepada pendapat dan cedokan manusia sahaja.

Ada satu lagi perkara yang perlu diperhatikan iaitu masyarakat dahulu apabila berlaku sebarang perbezaan pendapat, mereka akan merujuk kepada khalifah dengan syarat dia adalah imam mujtahid. Khalifah akan memutuskan perkara ini dan keputusannya akan menghentikan perbezaan pendapat ini. Namun sekarang di manakah khalifah? Dalam keadaan ini adalah lebih baik umat Islam merujuk masalah mereka kepada seorang hakim. Jika perbezaan pendapat mereka tidak dirujuk kepada mana-mana sumber, ia hanya akan menimbulkan perbezaan pendapat yang lain pula.

Ikhwan al-Muslimin amat memahami segala aspek ini. Oleh kerana itu mereka adalah orang yang paling bersikap terbuka dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Mereka melihat masing-masing ada ilmu dan masing-masing mungkin benar dan mungkin silap. Mereka akan mencari kebenaran dan akan berpegang dengan kebenaran. Mereka akan cuba dengan cara yang baik untuk meyakinkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka untuk memahami pandangan mereka. Terserahlah kepada orang itu meyakininya. Jika tidak meyakininya mereka masih merasakannya sebagai saudara seagama. Kita memohon semoga kita semua mendapat hidayah.

Ini adalah pendekatan yang digunakan oleh Ikhwan al-Muslimin apabila berhadapan dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah cabang agama. Secara ringkasnya boleh saya katakan Ikhwan menerima perbezaan pendapat dan tidak menerima ketaksuban. Mereka akan berusaha mencari kebenaran dan akan mengajak manusia ke arah kebenaran dengan cara yang terbaik, lembut dan penuh kasih sayang.


As Syahid Hasan Al Banna.

Cadangan Logo Badan Hal Ehwal Siswi Pusat Islam (Helwi) & Biro Helwani

Dicatat oleh Kelab Diskusi Islam Sunday, November 8, 2009 0 ulasan























Berikut merupakan cadangan logo-logo Helwi dan Biro Helwani....... pilih yang terbaik ye.....

Sekretariat Pelan Perancangan Kepimpinan Dan Pembangunan Mahasiswa Islam telah cuba berusaha bagi meningkatkan lagi kekuatan muslimat terutama sekali dari segi program dan trademark@jenama sebagai nilai tambah dan kaedah bagi menarik pelajar-pelajar siswi untuk bersama-sama melakukan aktiviti di Pusat Islam. Oleh itu, pihak sekretariat telah membuat nilai tambah bagi salah satu badan yang sebelum ini digelar sebagai Badan Helwani . Jadi pihak sekretariat menamakan Badan pergerakkan ini sebagai Badan Hal Ehwal Siswi Pusat Islam (HELWI). Badan ini bertindak sebagai pelindung dan perancang untuk Biro Hal Ehwal Wanita (Helwani) yang terlibat di dalam Kelab Diskusi Islam dan Sahabat Pusat Islam. Moga-moga dengan usaha sebegini mampu meningkatkan kekuatan dan semangat para siswi untuk terus berdakwah demi Islam tercinta. Oleh itu, jadikan badan ini sebagai satu medan untuk kita mencari keredhaan Allah s.w.t Moga Allah s.w.t merahmati perjuangan kita hendakNya. Insya'Allah.


"Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya,"

Pada waktu ini mungkin ada di antara kita mempunyai pelbagai tugasan, tanggungjawab atau pun amanah. Sebagai seorang pendakwah atau seorang Islam yang sejati masa merupakan satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan. Masa yang digunakan tanpa perkara yang bermanfaat akan menyebabkan ia pergi dan berlalu dengan sia-sia.

Setiap individu mempunyai tempoh masa yang sama iaitu sehari 24 jam. Oleh itu, kita hendaklah menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Kita pasti sudah biasa mendengar kata-kata bahawa masa yang lalu tidak akan berulang kembali. Jadi setiap masa yang ada pada saat ini harus digunakan dengan perkara yang bermanfaat. Muhasabalah diri kita, mungkin dengan masa yang begitu singkat kita habis dengan perkara yang tidak bermanfaat. Oleh itu, didiklah diri bagi memanfaatkan masa yang terluang itu dengan perkara yang bermanfaat.

Waktu tidak boleh dicipta, malah alam ini tercipta oleh peredaran waktu. Tuhan menyebut bahawa alam ini tercipta dalam enam masa. Masa cuma boleh dinamakan, dipenggal, dipecahkan, dipotong sebagai hari, minggu bulan serta dinamakan Ahad, Isnin dan sebagainya. Jika ada keperluan untuk amalan rohani gelap, maka ia dinamakan Keliwon mengikut lidah Jawa.

Masa itu tidak boleh direkabentuk seperti benda-benda yang boleh dipegang. Setiap yang boleh dipegang boleh dipatahkan dengan benda lain. Pokok yang dipatahkan rantingnya boleh tumbuh semula. Kerana itu, manusia boleh berkata, yang patah itu boleh tumbuh dan yang hilang boleh berganti. Ini kerana, patah dan tumbuh itu sifat benda dan bukan sifat masa.

Malah, masa itu boleh mengancam manusia. Saidina Ali berkata, "Masa itu umpama pedang. jika kamu tidak 'memenggalnya', nescaya ia akan 'memenggal' lehermu."

Sebenarnya yang menyebabkan masa itu berharga ialah disebabkan adanya kerja, tugas, amanah yang perlu disiapkan semasa waktu itu sedang berjalan.Jika bukan kerana itu, maka masa itu tidak berharga. Misalnya, dengan peredaran masa, pokok perlu membesar dan ia dijual dengan masa tertentu. Sebab itulah masa untuk menunggu pokok itu membesar amat berharga.
Dalam hal ini masa disalahgunakan dalam perniagaan yang melibatkan riba. Sekiranya kita tidak dapat melunaskan hutang dalam tempoh waktu tertentu, maka bunga (riba) akan naik. Demikianlah masa disalahgunakan dalam 'industri' riba.

Maka Hasan al-Banna telah memulakan wasiatnya dengan menggunakan ungkapan 'kewajipan kita' yang bermaksud usaha dakwah kepada umat ini. Kewajipan usaha dakwah ini ada pertalian yang amat erat dengan penggunaan waktu.

Masa makin singkat dan suntuk!
Tetapi jumlah usaha dakwah itu terlalu banyak jika dibandingkan dengan jumlah peruntukan waktu yang kita ada. Di dalam peruntukan 24 jam sehari semalam, kita mungkin memerlukan 48 bentuk dan 72 jenis dakwah. Dalam kata lain, kita mungkin perlukan 2 atau 3 kali ganda program dakwah atau lebih daripada itu dalam tempoh 24 jam. Itu maksud Hasan al-Banna; jumlah usaha dakwah perlu digembeling dalam jumlah waktu yang sungguh singkat. Masa seperti semakin pendek apabila terlalu banyak urusan dakwah yang perlu dibereskan.
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu percikan api." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Hasan al-Banna, ketika menyusun wasiatnya, beliau mungkin terkesan dengan sabda Rasulullah s.a.w ini. Bilangan manusia yang ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan dan islah sangat kurang berbanding manusia jahat yang memperuntuk masa dan hartanya ke arah kemusnahan dunia dan tamadun ini.

Oleh itu bayangkanlah bagaimana keadaannya ketika kerja dakwah makin banyak menimbun ini terpikul atas bahu segelintir pendakwah sahaja yang inginkan kedamaian, kesejahteraan, kebaikan dan ketenangan di dunia dan akhirat.

Bantu manusia menguruskan waktunya
Barangkali.. lantaran terkesan dengan semua inilah, maka Hassan al Banna memulakan usaha dakwah di kedai-kedai makanan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid. Beliau benar-benar mahukan insan berpeleseran tanpa tujuan ini akhirnya akan faham matlamat hidupnya.
Apabila manusia itu mula faham akan falsafah dan matlamat hidup, maka akan wujud manusia yang akan menggunakan masanya dengan betul, baik dan sempurna.Manusia yang telah mula dibangunkan kesedarannya ini akan tertanya-tanya pula tentang bagaimana seharusnya mereka mahu memanfaatkan waktunya di dunia ini sementara menunggu waktu di akhirat kelak.

Maka.. di sini Al-Banna menyarankan pendakwah agar membantu mereka yang telah terbuka hatinya untuk memahami bagaimana mereka perlu memanfaatkan waktunya untuk beribadah sementara menunggu waktu dihisab di akhirat kelak."Oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan kalau saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya," demikian pesan al-Banna lagi.
Orang yang telah dilembutkan hatinya dan dilunakkan jiwanya sentiasa tertanya-tanya mengenai apakah amalan yang harus dilakukan guna mencapai redha ilahi. Soalan semacam ini kerap hinggap di ranting pertanyaan sahabat dan baginda selalu hadir bagi menjawab setiap pertanyaan tersebut.

Ghairahnya para sahabat dalam beramal sehingga mereka kerap bertanya, apakah amalan yang paling baik dan bermacam pula jawapan baginda tergantung kepada keadaan rohani para sahabat itu.

Jika dilihatnya sahabat itu menderhakai ibu bapanya maka baginda bersabda, berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika dilihatnya penyoal itu seorang yang panas baran, maka dia menasihatkan orang itu supaya tidak marah-marah.

Mereka yang mula lunak kepada agama tidak tahu atau terlupa tentang cara-cara menggunakan masa sebagai yang disaran di dalam al-Quran. Mungkin kerana keterbatasan dalam bahasa Arab, mereka tidak faham mesej dalam surah Al-Muzzammil.

[1] Hai orang yang berselimut! [2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, kecuali dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), [3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, [4] Atau pun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil." [5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. [7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya. Orang yang didakwah atau mereka yang baru dinyalakan pencerahan rohani dalam dirinya, selalu hidup pelbagai ragam persoalan dalam hatinya dan menyalalah pula pelbagai rencam pertanyaan yang berwarna-warni dalam dirinya berhubung langkah-langkah awal menuju ke arah kesempurnaan hidupnya sebagai manusia terbaik.Jadi, bagaimana mereka harus bermula? Jika ada amalan permulaan, maka apakah amalan permulaan itu? "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "Sembahyang Tahajjud" padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada akhirat di tempat terpuji." (Al-Isra': 79)

Adakah insan yang baru merangkak, baru melabuhkan pencarian untuk mendakap pencerahan jiwa serta akal fikirannya dapat menyelami hasrat Tuhan sebagai yang terkandung ayat-ayat al-Qur'an di atas? Mereka perlukan masa untuk dibimbing serta masa perlukan pembimbing yang sabar, teguh hati, kuat pendirian, bijaksana, berhemah tinggi yang kental spiritual.

Ringkaskan amalan untuk membantu saudara lain
Sebab itulah Al-Banna menyarankan anggota Ikhwan Muslimin atau para pendakwah meringkaskan sahaja urusan mereka untuk membantu saudara mereka yang mahu dibangkitkan kesedaran dalam jiwanya.Bagi Al-Banna, amalan peribadi yang bertujuan menolong keperluan peribadi di akhirat, hanya bermanfaat untuk keperluan mereka sahaja. Sedangkan, usaha mengirim ilmu ke dalam dada manusia yang kosong tanpa dihuni hikmah pengetahuan sangat berguna kepada kedua-dua pihak, sama ada pihak pendakwah dan pihak yang didakwah.

Petunjuk agama menyatakan bahawa, jika ada seseorang beramal dengan sebab ajaran kita, maka pahala dengan sebab amalan itu turut mengalir ke dalam 'akaun pahala' kita kelak.Sebab itu, pendakwah perlu meringkaskan dan menyedikitkan ruang untuk keperluan amalan peribadi supaya lebih banyak ruang dapat dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan dan pengajaran ke atas manusia lain yang dahagakan pengetahuan daripada mereka.Mereka yang berkhalwat, beruzlah, dan bersuluk tanpa berusaha keras menggerakkan nurani manusia untuk mendapat imbuhan pencerahan rohani daripada Tuhan, tidak termasuk dalam jenis manusia pencerahan.

Al-Banna, Badiuzzaman Said Nursi, dan lain-lainnya adalah ulamak sufi dan bersuluk di 'gua pertapaan' lalu keluar ke lapangan dalam usaha memerangi amalan khurafat dalam pemerintahan manusia mustakbirin sekali gus menyinari mendung awan hitam yang membalut kegelapan hati manusia mustadh'afin.

Mesej Anda


ShoutMix chat widget

Mutiara Kata

Radio

nasyidfm